Contoh Karangan SPM KEPENTINGAN HOBI TERHADAP INDIVIDU
Sudah
pasti setiap manusia di muka bumi ini mempunyai hobi tersendiri. Menurut
Kamus Dewan Edisi Kedua, hobi ditakrifkan sebagai aktiviti kegemaran
yang dilakukan seseorang pada waktu lapang. Umum mengetahui, kebanyakan
penduduk dunia mula berjinak-jinak dengan hobi baru ketika Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung berikutan dengan penularan
wabak Covid-19. Disebabkan terlalu jemu dengan aktiviti seharian yang
hampir sama sepanjang tempoh darurat itu, ramai yang cuba menerokai
aktiviti dan hobi yang bermanfaat untuk dilakukan. Aktiviti yang menjadi
tular sepanjang PKP ini adalah seperti memasak, bercucuk tanam,
menjahit, menyulam, menggubah bunga, membuat kaligrafi, menulis cerita
dan bermain permainan secara dalam talian. Aktiviti-aktiviti ini
dilakukan secara bersendirian atau bersama-sama orang tersayang seperti
keluarga dan sahabat handal. Namun begitu, sayangnya hobi ini tidak lagi
menjadi kelaziman segelintir masyarakat setelah tamatnya tempoh PKP dek
kekangan masa dan terlalu sibuk dengan aktiviti di tempat kerja. Walau
bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat malaysia yang tetap
setia melakukan aktiviti ini kerana terdapat seribu satu fadilat yang
terkandung dalam hobi mereka itu. Rentetan daripada senario tersebut,
terdapat di antara kita yang mempersoalkan mengenai kebaikan-kebaikan
yang tersembunyi itu? Adakah hobi mampu memberikan manfaat dalam
kehidupan kita seperti yang telah dinyatakan? Bagaimanakah seseorang
memulkan hobi mereka? Apakah kesan sampingan jika terlalu taksub dengan
hobi itu? Bagi menjernihkan air yang keruh, diskusi tentang faedah hobi
dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara haruslah
diimplementasikan.
Signifikansi yang perdana dan utama, hobi
dapat mengisi masa lapang individu dengan aktiviti yang berfaedah. Hal
ini akan memberikan kemaslahatan kepala diri seseorang seandainya dia
menjadikan perkara atau aktiviti yang berfaedah sebagai hobinya. Seperti
mana yang diketahui, frasa ‘hobi’ merujuk kepada perkara yang menjadi
kesukaan seseorang untuk dilakukan pada masa senggang. Oleh itu,
gejala-gejala yang tidak bermoral juga boleh dikategorikan sebagai hobi
sekiranya ia menjadi perbuatan yang suka dilangsungkan oleh individu.
Bagi memilih hobi yang bermanfaat dan sesuai untuk diri seseorang, ibu
bapa merupakan insan yang memainkan peranan yang vital untuk menerapkan
elemen perbezaan antara hobi yang baik dan hobi yang buruk dalam diri
anak-anak yang masih berusia setahun jagung. Hal ini adalah supaya
mereka dapat menghindarkan diri daripada melakukan gejala-gejala yang
tidak elok sehinggakan akan merosakkan masa hadapan mereka dan negara
kerana mereka ialah bakal pewaris pucuk kepimpinan negara. Sekiranya
mereka telah dibentuk dengan acuan yang baik, sudah pasti negara
Malaysia juga dapat menumpang kegembiraan pada masa akan datang.
Berbalik pada teras perbincangan bahawa hobi dapat mengisi masa lapang
seseorang dengan aktiviti yang berfaedah kerana hobi yang menjadi rutin
individu pada masa lapang dapat mengelakkannya daripada terlibat dengan
aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh, hobi membaca buku pada
waktu malam dapat mengelakkan seseorang daripada menyertai
kumpulan-kumpulan yang tidak sihat yang boleh menyongsangkan akidah
seseorang anak Adam seperti pertubuhan kongsi gelap dan Black Metal.
Kata Tan Seri Muhyiddin Yassin ketika masih memegang jawatan sebagai
Menteri Dalam Negeri, seramai 85 575 orang golongan belia yang berumur
sekitar 19 hingga 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah bagi tahun 2014
hingga 2018. Pada hemat saya, faktor yang menjadi pendorong kepada
gejala ini adalah kerana mereka tidak mempunyai hobi yang bermanfaat
untuk dilakukan menyebabkan mereka terpengaruh dengan ajakan rakan untuk
melakukan aktiviti yang tidak senonoh. Oleh hal yang demikian, golongan
belia haruslah bijak memilih hobi yang bermanfaat agar dapat mengisi
masa lapang sekali gus menghindarkan diri daripada berada dalam
lingkungan rakan-rakan yang rosak akhlak dan sahsiah mereka.
Beralih
kepada kepentingan hobi yang selanjutnya adalah dapat menambahkan ilmu
pengetahuan dalam diri individu. “Setiap seorang daripada kita mesti
memberikan nilai tambah kepada diri masung-masing,” demikianlah Mantan
Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam
salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu.
Ungkapan keramat ini membawa maksud bahawa nilai seseorang anak
pascamerdeka ini akan bertambah andai individu tersebut melakukan
anjakan paradigma dalam dirinya daripada terus berada di takuk lama.
Oleh itu, bagi memperluaskan cabang ilmu pengetahuan, individu boleh
membaca buku, melayari Internet dan pergi ke perpustakaan untuk mencari
bahan bacaan. Kini, dalam era ledakan sains dan teknologi, individu
dapat memperoleh ilmu pengetahuan dengan mudah dengan syarat dia
mempunyai peranti elektronik dan capaian Internet yang mantap. Maklumat
hanya di hujung jari, tiada alasan untuk terus menjadi seperti katak di
bawah tempurung. Sebagai generasi yang bakal menempuh kehidupan pada era
Revolusi Perindustria 4.0, seseorang haruslah melengkapkan diri dengan
elemen fasih digital dalam diri mereka agar tidak terpedaya dengan
muslihat dan permainan kotor teknologi maklumat dan telemunikasi.
Bagaimanakah elemen fasih digital dapat diterapkan? Sudah pasti dengan
mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukup tentang
teknologi maklumat dan telemunikasi. Tambahan pula, individu yang
mempunyai pengetahuan yang luas dapat berfikiran matang, produktif dan
mampu mengutarakan cadangan dan idea yang bernas dalam hasrat memajukan
negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan
negara-negara maju di seluruh dunia. Oleh hal yang demikian, generasi
hari ini perlulah melaksanakan modus operandi dengan melaksanakan hobi
yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan agar membantu meningkatkan
ekonomi negara.
Menyelusuri perspektif pemikiran yang seterusnya,
faedah hobi juga adalah mampu menjana pendapatan individu. Sebagai yang
kita semua ketahui, pendapatan diperoleh masyarakat zaman ini bukanlah
seperti dahulu iaitu perlu ke sana dan ke sini untuk memohon pekerjaan.
Kini, dalam era kecanggihan teknologi dan komunikasi, bermacam-macam
pekerjaan boleh dilangsungkan secara dalam talian. Dengan adanya hobi,
individu yang berbakat dalam perkara tertentu dapat menjana pendapatan.
Contoh hobi yang mampu memberikan pulangan dari segi wang ringgit kepada
individu adalah seperti membina laman sesawang, menyunting gambar,
mereka poster dan membuat sulaman serta memasak. Hal ini kerana melalui
kecanggihan teknologi maklumat dan telemunikasi, individu yang hanya
tinggal di rumah tanpa ke tempat kerja sekali pun dapat menjana
pendapatan sendiri disebabkan wujudnya laman sesawang seperti Shoppee,
Lazada, Facebook, Lelong dan Mudah.my. Laman-laman ini menyediakan
platform untuk sesiapa sahaja menjual dan membeli barangan yang
dikehendaki tanpa perlu menjejakkan kaki keluar dari pintu rumah
masing-masing. Sementelahan pula, bagi generasi anak muda zaman ini yang
mempunyai hobi untuk menulis blog, merakam dan menyunting video dapat
menjana pendapatan pada usia yang muda. Bermodalkan peranti elektronik
seperti telefon pintar dan cetusan idea yang menarik, video yang
dihasilkan perlulah menepati cita rasa golongan hari ini. Apabila
video-video yang dimuat naik memperoleh tontonan yang disasarkan,
individu boleh mendaftar sebagai ahli Google AdSense untuk mendapatkan
wang dengan memenuhi syarat yang ditetapkan. Perihal ini membolehkan
individu menjana pendapatan pada usia yang muda sekali gus mengurangkan
bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa mereka. Sebagai tamsilan,
seorang aanak watan yang berumur 12 tahun telah berjaya mengumpulkan
lebih daripada 3 juta pengikut di laman YouTube sekali gus menjadikannya
sebagi kanak-kanak Malaysia pertama yang mampu menjana pendapatan pada
awal usianya dengan melakukan hobinya iaitu menyanyi. Tuntasnya,
benarlah hobi dapat menjana pendapatan individu.
Di samping itu,
hobi juga mampu menjadikan individu seorang yang dapat mengekalkan
kesihatan mental dan fizikal. Bagi memperhalusi horizon perbincangan,
hobi yang dapat membantu individu untuk mengekalkan kesihatan mental
adalah seperti melakukan aktiviti amal, menari, menulis, mendengar muzik
dan mengamalkan yoga. Buat pengetahuan para pembaca, kesihatan mental
adalah satu keadaan yang sejahtera d mana seseorang menyedari tentang
keupayaan dirinya, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat
bekerja secara produktif dan mampu menyumbang bakti kepada masyarakat.
Kesihatan mental merupakan sesuatu aspek yang tidak boleh dipandang
remeh oleh individu kerana individu yang mempunyai masalah kesihatan
mental akan mengalami tekanan dan stres, tiada keyakinan diri,
antisosial, bersikap pesimis, mempunyai masalah ‘Anxiety Disorder’ dan
yang lebih dahsyat adalah dapat menjadi asbab terhadap kematian
seseorang. Oleh itu, hobi perlulah dilakukan untuk mengatasi
permasalahan ini. Amsalnya, kajian yang dijalankan oleh Jenny Hole
mendapati para pesakit yang menunggu pembedahan dapat mengurangkan
kebimbangan dengan mendengar muzik berbanding mengambil ubat-ubatan. Di
samping itu, mendengar muzik boleh merendahkan tahap kortisol yang juga
dikenali sebagai hormon tekanan. Selain itu, hobi juga dikatakan mampu
mewujudkan kesihatan fizikal yang mantap dalam diri seseorang. Sebagai
contoh, mendaki gunung, berjoging dan berenang membolehkan seseorang itu
menyingkirkan urea iaitu toksin-toksin dalam badan agar dapat mencegah
daripada penyakit kesihatan yang berbahaya. Kata peribahasa Melayu
mencegah lebih baik daripada mengubati, rakyat Malaysia diseru untuk
melaksanakan hobi yang dapat mengekalkan keseimbangan mental dan fizikal
agar dapat menjadi individu yang proaktif dan produktif sebagai
memenuhi kehendak Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.
Akhir sekali, faedah yang diperoleh oleh seorang individu apabila
melaksanakan hobi mereka adalah dapat meluaskan pandangan dan pengalaman
tentang budaya masyarakat di negara lain. Sebagai contoh, melancong,
membaca dan menonton video di laman Youtube dapat membuka mata
masyarakat kepada dunia luar. Hal ini adalah kerana masyarakat akan
terdedah kepada kemajuan negara asing serta mentaliti mereka. Melalui
aktiviti melancong, individu dapat mempelajari budaya asing seperti
budaya kerja orang Jepun yang begitu mementingkan aspek penjagaan waktu.
Perihal ini akan menyebabkan dia cuba mengaplikasikan budaya tersebut
apabila pulang ke Malaysia. Namun begitu, tidak semua budaya Jepun boleh
dijadikan contoh kerana statistik telah menunjukkan bahawa Jepun
merupakan antara negara yang mencatatkan bilangan kematian akibat bunuh
diri tertinggi di dunia. Hal ini disebabkan masyarakat Jepun terdedah
kepada tekanan hidup yang terlalu taksub untuk mencapai kemajuan. Oleh
sebab itu, kita perlulah menjadi individu yang seimbang rohani dan
jasmani agar kemajuan dalam negara dapat dicapai tanpa adanya nyawa
terkorban. Seterusnya, aktiviti membaca juga membolehkan seseorang
menimba ilmu tentang negara orang supaya dapat meluaskan honzon
pemikiran yang sempit. Melalui pembacaan tentang sejarah dunia,
seseorang dapat mempelajari cara tamadun dunia berkembang. Misalnya,
Tamadun Indus telah berkembang dengan ilmu teknologi pertanian dan
geometri melalui pertembungan dengan Tamadun Mesopotamia dan Tamadun
Yunani. Bukankah perkara ini sesuatu yang menarik? Oleh itu, kita
hendaklah banyak membaca dan menerokai bahan bacaan yang berlandaskan
sejarah dan perkembangan dari luar negara supaya dapat mengambil
pengajaran dan ikhtibar daripadanya. Kesimpulannya, pandangan dan
pengalaman tentang budaya masyarakat di negara lain boleh diterap
melalui hobi seperti melancong dan membaca.
Akhirulkalam, pengamalan hobi yang baik perlulah dipraktikkan rakyat
Malaysia agar dapat memperoleh 1001 manfaat daripadanya. Sementara itu,
perkara-perkara yang tidak elok seyogia dihindari bagi mengelakkan
masalah sosial berlanjutan dalam kalangan masyarakat. Kotradiksinya,
jiwa remaja yang masih merah cenderung untuk melakukan aktiviti bagi
'menunjukkan kehebatan' diri mereka sehingga menjerumuskan diri ke
dalam lokap. Sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, belia
patutlah bijak memilih hobi agar dapat memperoleh kemaslahatan
daripadanya sekali gus membangungkan negara bangsa Melaysia. Janganlah
menjadi diri seperti katak di bawah tempurung dan bagai melepaskan batok
di tangga kerana hobi merupakan elemen yang penting dalam kehidupan
seseorang individu.