-->

Type something and hit enter

Translate


On

 

Karangan SPM

Penggunaan Pengangkutan Awam

Pada era pascakemerdekaan ini, rakyat Malaysia mula hidup dalam kecanggihan infrastruktur. Pembangunan pesat dalam aspek pengangkutan selari dalam usaha merealisasikan cabaran visi Wawasan 2020. Namun demikian, terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengambil endah untuk memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam yang sedia ada.

Masyarakat madani negara kita perlu mengikis sikap mereka seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita perlu menggunakan kemudahan pengangkutan awam sebaik-baiknya. Persoalannya, apakah prakarsa pragmatik yang mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam?

Agensi pengangkutan awam perlu menawarkan pakej pengangkutan dengan kos berpatutan supaya rakyat lebih berminat untuk menikmati menggunakan pengangkutan mereka seperti bas awam dan teksi. Agensi pengangkutan awam juga boleh berganding bahu bersama-sama agensi perlancongan. Oleh hal yang demikian, melalui penawaran harga berpatutan daripada agensi pengangkutan dan perlancongan, kedua-dua agensi ini menarik orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan meningkatkan ekonomi negara.

Media massa merupakan wahana yang paling efektif untuk menarik perhatian masyarakat terhadap sesuatu perkara. Media massa tidak kiralah elektronik mahupun cetak boleh menguar-uarkan kempen kesedaran penggunaan pengangkutan awam kepada rakyat dengan efesien. Pihak kerajaan dan pihak berkuasa juga boleh menjayakan lagi kempen ini dengan menganjurkan majlis "turun padang" bersama-sama rakyat supaya kesedaran dapat disemai dalam kalbu masyarakat. Hal ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama-sama pihak kerajaan bersetuju untuk menjalankan projek pembinaan "MRT" supaya negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, apabila sistem pengangkutan negara kita dibandingkan dengan kemajuan pesat sistem pengangkutan awam seperti di Hong Kong dan Singapura.

Di negara-negara lain, penggunaan pengangkutan awam menjadi keperluan kerana kecekapan sistem tersebut yang lebih baik dan murah serta dapat sampai ke destinasi dalam masa yang singkat tanpa kesesakan lalu lintas. Jelaslah, hal ini menarik minat masyarakat untuk menggunakan pengangkutan awam yang sedia ada seperti kereta api aliran ringan (LRT) yang laju, murah dan menjimatkan masa.

Selain itu, pihak pengurusan juga haruslah meningkatkan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam seperti perhentian bas, tempat duduk dalam kenderaan, dan gerabak asing untuk penumpang wanita. Kebersihan dan kemudahan tersebut dapat menjamin suasana kondusif untuk para pengguna. Di samping itu, pihak pengurusan juga harus melantik pemandu pengangkutan yang bertanggungjawab dan berhemat selain mengemaskinikan dan memantapkan jadual bertugas. Oleh itu, ramai orang akan cenderung untuk menggunakan pengangkutan awam.

Tuntasnya, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding usaha agar orang ramai memanfaatkan pengangkutan awam dan mengubah persepsi buruk terhadap pengangkutan. Bak kata pepatah "hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih". Jika semua lapisan masyarakat dapat menggunakan pengangkutan awam sebaik-baikny, kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menjimatkan wang yang banyak. Maka, negara kita dapat terus maju dan berkembang menjadi negara yang pesat seperti Hong Kong, Jepun dan lain-lain.
Back to Top